Tuaran: Lima lelaki maut dalam nahas jalan raya melibatkan sebuah lori treler dan kereta Toyota Wish di Jalan Sulaman-Gayang, berhadapan Pusat Latihan Rela Tuaran, petang tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.09 petang.
Susulan itu, pasukan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu bergegas ke lokasi kejadian dengan kekuatan sembilan anggota, sebuah jentera FRT dan sebuah EMRS.
Komander Operasi, PBK I Masri Gari berkata, pasukan tiba di lokasi pada jam 2.50 petang dan mendapati kemalangan membabitkan pertembungan antara lori treler dengan Toyota Wish yang kemudiannya terbabas ke bahu jalan.
“Sebanyak lima mangsa (Pelajar Institut Kemahiran MARA Kota Kinabalu) yang berada di dalam Toyota Wish terperangkap di dalam kenderaan dan berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan rescue tools.
“Namun, kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau memaklumkan pemandu lori treler tidak mengalami sebarang kecederaan.
Jenazah semua mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Operasi penyelamatan ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.20 petang selepas kawasan kejadian disahkan selamat.
