Pitas: Penduduk Kampung Nibang gempar pagi kelmarin selepas mayat seorang wanita ditemukan terapung di sungai berdekatan.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, panggilan kecemasan diterima daripada Balai Polis Pitas pada jam 7.21 pagi sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian sejauh 34 kilometer.
Komander Operasi, PBK I Gabuh Maradan berkata, lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pitas bergegas ke lokasi menggunakan sebuah jentera FRT dan tiba pada jam 8.15 pagi.
“Sebaik tiba, pasukan mendapati mayat seorang wanita dewasa terapung di sungai berkenaan. Pasukan bertindak membawa naik mangsa menggunakan tali sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, sementara operasi turut mendapat bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Operasi ditamatkan pada jam 9.19 pagi selepas kawasan disahkan selamat dan tiada sebarang ancaman lain dikesan.
Punca kematian masih dalam siasatan pihak berkuasa.
