Tawau: Seramai 13 remaja berusia 16 hingga 19 tahun didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Tawau atas pertuduhan membunuh rakan pelajar mereka, Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, di Kolej Vokasional Lahad Datu tahun lalu.
Hakim Datuk Duncan Sikodol ketika membacakan keputusan berkata, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melibatkan semua tertuduh melampaui keraguan munasabah.
Beliau memutuskan bahawa kesemua tertuduh bersalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Menurutnya, hujahan pihak pembelaan termasuk alibi, penafian menyeluruh serta pengakuan separa adalah bercanggah dengan keterangan saksi dan tidak munasabah.
“Isu yang perlu dilihat bukan sama ada tertuduh berniat untuk membunuh, tetapi sama ada kecederaan yang sengaja dilakukan itu, dalam keadaan biasa, cukup untuk menyebabkan kematian. Bukti perubatan jelas menunjukkan kecederaan itu memang membawa maut,” katanya seperti dipetik New Straits Times (NST).
Hakim turut menolak alasan bahawa para tertuduh hanya mahu “mengajar mangsa”, kerana bukti perubatan menunjukkan kecederaan yang dialami sangat parah.
Selain itu, hujah provokasi juga ditolak kerana serangan yang dilakukan adalah berpanjangan dan berulang, bukannya tindak balas spontan.
Beliau juga menolak dakwaan bahawa mangsa mungkin terselamat jika menerima rawatan segera, dengan menjelaskan bahawa keterangan pakar hanya menyebut ia sebagai kemungkinan, bukan kepastian.
Kesemua remaja itu didakwa membunuh mangsa di asrama kolej berkenaan antara jam 9 malam, 21 Mac hingga 7.38 pagi, 22 Mac tahun lalu.
Mahkamah menetapkan 28 Ogos ini untuk tarikh menjatuhkan hukuman, sementara menunggu laporan akhlak daripada pegawai kebajikan masyarakat.
Bagi kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, sabitan membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dengan tidak lebih 12 sebatan rotan.
Lapan daripada tertuduh diwakili peguam Kamarudin Mohmad Chinki, Datuk Ram Singh dan Chen Wen Jye, manakala lima lagi diwakili Abdul Ghani Zelika bersama peguam lantikan mahkamah, Vivien Thien, Jhasseny P Kang, Kusni Ambotuwo dan Mohamed Zairi Zainal Abidin.
