Kudat: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak pernah menganiaya mana-mana pegawai atau Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) agensi negeri yang dilantik semasa pentadbiran Parti Warisan.
Menurut beliau, sebaik dilantik sebagai Ketua Menteri kira-kira lima tahun lalu, beliau sendiri bertemu pegawai terbabit dan meminta mereka terus berkhidmat untuk kerajaan negeri tanpa sebarang tekanan.
“Apabila mereka (Warisan) ambil kerajaan, bukan mereka fikir rakyat, tapi mereka cantas, dendam dan tekan orang. Saya jadi Ketua Menteri hampir lima tahun, saya tidak pernah aniaya satupun walaupun ia dilantik oleh Warisan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Bersama Ketua Menteri Sabah di Grand Ballroom Kudat Golf & Marina Resort, di sini, Jumaat malam.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Ir Shahelmey Yahya; ADUN Tanjong Kapor, Datuk Ben Chong; dan ADUN Tempasuk, Datuk Mohd Arsad Bistari.
Sehubungan itu, Hajiji menyeru rakyat Sabah menjadikan Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) sebagai peluang untuk mengekalkan kerajaan GRS-Pakatan Harapan (PH).
“Jangan sia-siakan peluang ini, kalau kerajaan itu tolong rakyat terutama yang miskin, pelajar dan golongan bawah, angkat ekonomi dan industri kita, kenapa kita mesti tolak pada pilihan raya nanti.
“Saya harap rakyat kita kali ini bagilah kepercayaan kepada calon GRS di mana sahaja kita letak. Insya-Allah kita akan membentuk kerajaan selepas pilihan raya nanti,” katanya.
