JAKARTA: Pihak polis menepis dakwaan berlaku insiden berbalas tembakan sehingga menyebabkan kematian seorang anggota polis, Nofriansyah Yosua Hutabarat seperti yang pernah dilaporkan sebelum ini.
Menurut Kompas.com, Ketua Polis Negara, Listyo Sigit Prabowo berkata, sebaliknya Inspektor Ferdy Sambo yang mengarahkan anak buahnya, Bharada Richard Eliezer yang juga merupakan sahabat kepada mangsa untuk membunuh mangsa.
Menurut penemuan terkini, katanya suspek tidak hanya berdepan dengan hukuman penjara bahkan didakwa dengan hukuman mati.
“Nofriansyah mati dibunuh oleh Bharada atas arahan Ferdy. Selepas itu, dia melepaskan tembakan ke dinding rumah supaya kelihatan seperti berlaku insiden tembak menembak.
“Bagaimanapun, kita masih menyiasat motif sebenar kejadian,” katanya.
Seminggu lalu, Polis Indonesia menetapkan Bharada sebagai suspek utama dalam kes kematian Nofriansyah.
Jurucakap polis, Andri Rian berkata, perkara itu diputuskan berdasarkan siasatan dan bahan bukti yang dikumpulkan sejak kes itu berlaku sehingga kini.
Jelas Andi, Bharada yang juga anggota polis dan merupakan pembantu kepada Ferdy didakwa menembak mangsa sehingga mati pada 8 Julai lalu.
Kejadian itu berlaku selepas suspek dan mangsa mengiringi isteri Ferdy, Putri Chandrawathi dalam perjalanan dari Magelang, Jawa Tengah ke Jakarta.
Peristiwa tersebut menyaksikan mangsa maut dengan tujuh tembakan, manakala suspek pula tidak mengalami sebarang kecederaan.
Sebelumnya, Ferdy didakwa menjadi suspek utama selepas beliau dituduh cemburu dengan hubungan mesra antara isterinda dengan mangsa.
Sumber: UM