KOTA KINABALU: Inisiatif peralihan tenaga yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Sabah kini menjadi strategi utama dalam menangani cabaran keselamatan bekalan tenaga serta tekanan kenaikan harga minyak global susulan konflik di Asia Barat.
Ketua Menteri, Datuk SeriHajiji Noor berkata, pendekatan itu yang diterajui Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) adalah tepat pada masanya dalam memastikan kestabilan sistem tenaga negeri.
“Inisiatif peralihan tenaga oleh Kerajaan Negeri Sabah yang diterajui Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) dan mula dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu amat bersesuaian serta tepat pada masanya untuk membantu Sabah berdepan dengan cabaran akibat konflik di Asia Barat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Tenaga Sabah (MTS) pertama bagi tahun ini di Menara Kinabalu, pada Jumaat.
Menurutnya, kerajaan negeri komited memperkukuh keselamatan tenaga melalui strategi pembangunan yang seimbang dan berdaya tahan.
“Ini termasuk memanfaatkan sumber gas asli negeri, pembangunan tenaga hidro, penggunaan teknologi Battery Energy Storage System (BESS), serta penerokaan projek Pumped Storage Hydro sebagai penyimpanan tenaga berskala besar bagi meningkatkan fleksibiliti dan kestabilan sistem grid Sabah.
“Di bawah inisiatif peralihan tenaga Sabah kini sedang beralih ke arah peningkatan penggunaan tenaga boleh baharu (TBB) dan gas asli sebagai alternatif kepada diesel dan Marine Fuel Oil (MFO),” katanya.
Hajiji berkata pembangunan sektor tenaga turut menjadi pemacu penting dalam menarik pelaburan serta memperkasa sektor perindustrian negeri.
“Bekalan tenaga yang stabil, mampan dan berdaya saing akan terus menyokong pertumbuhan kawasan perindustrian strategik sekali gus membuka lebih banyak peluang pelaburan dan pekerjaan kepada rakyat Sabah,” katanya.
Sepanjang tahun 2025, katanya, Sabah mencatat beberapa pencapaian penting dalam memperkukuh sistem bekalan elektrik negeri, termasuk penyiapan projek BESS berkapasiti 100 MegaWatt / 400 MegaWatt jam pada Ogos 2025 yang merupakan sistem penyimpanan tenaga bateri terbesar di Asia Tenggara.
Selain itu, pengoperasian sambungan grid Sabah–Sarawak pada Disember 2025 turut membolehkan import tenaga sebanyak 50MW.
Dalam masa sama, prestasi kebolehpercayaan bekalan elektrik menunjukkan peningkatan dengan penambahbaikan prestasi SAIDI daripada 416 minit pada 2024 kepada 338 minit pada 2025.
“Pencapaian SAIDI yang memberangsangkan ini adalah hasil usaha berterusan semua pihak termasuk pengawal selia, utiliti, pengendali sistem serta pihak berkepentingan lain dalam menambahbaik operasi dan perancangan sistem bekalan elektrik negeri Sabah,” katanya.
Beliau berkata kejadian menara talian penghantaran 275kV Kolopis–Segaliud yang tumbang akibat bencana alam pada September lalu turut menekankan keperluan memperkukuh daya tahan grid, termasuk pembangunan penjanaan mampan di Pantai Timur serta pelaksanaan pautan grid bahagian Selatan (Southern Link).
Dalam mesyuarat itu, MTS turut meluluskan langkah intervensi di bawah Jawatankuasa Elektrifikasi Luar Bandar Sabah (JELaS) bagi mempercepat sasaran 100 peratus liputan bekalan elektrik luar bandar selaras Pelan Hala Tuju dan Pelan Induk Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040).
“Keputusan-keputusan ini selaras dengan strategi Kerajaan Negeri untuk memperkukuh daya tahan sistem tenaga melalui campuran tenaga yang seimbang merangkumi tenaga boleh baharu, gas asli dan teknologi penyimpanan tenaga.
“Di samping itu juga ia turut memperkukuh infrastruktur grid termasuk pembangunan Southern Link bagi meningkatkan tahap keboleharapan sistem khususnya di Pantai Timur Sabah,” katanya.
Hajiji turut mengumumkan pelantikan ahli baharu MTS iaitu Timbalan Ketua Menteri I/Menteri Kerja Raya dan Utiliti Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam, Timbalan Ketua Menteri III/Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Datuk Ewon Benedick serta Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Energy Corporation Datuk Ir Ts Adzmir Abd Rahman.
