KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun ditahan di kawasan Inanam bagi membantu siasatan kes samun yang tular di media sosial melibatkan sebuah premis dobi di Alam Mesra, semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Supt Syed Lot Syed Abdul Rahman berkata, tangkapan dibuat pada hari kejadian susulan laporan berkaitan insiden samun dan mendatangkan kecederaan di premis Y&Y Laundry pada 15 April lalu.
“Pihak polis mengesahkan satu tangkapan telah dibuat pada hari kejadian dan siasatan awal mendapati suspek merupakan lelaki warga tempatan berumur 38 tahun yang ditahan di Inanam bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Beliau berkata, kes berkenaan turut menerima pelbagai reaksi di media sosial termasuk penyebaran spekulasi tidak sahih berkaitan suspek.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak tepat yang boleh mengganggu siasatan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan sebarang spekulasi, kenyataan tidak sahih atau kandungan yang boleh mengelirukan kerana tindakan tegas boleh diambil terhadap mana-mana pihak yang berbuat demikian,” katanya.
Tambah beliau, pihak polis komited memastikan keselamatan awam sentiasa terpelihara dan akan terus mempergiat rondaan pencegahan jenayah di kawasan terlibat.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu siasatan lanjut.
