KOTA KINABALU: Peningkatan mendadak kes berkaitan isu keselamatan siber di negara ini perlu diberi perhatian.
Timbalan Ketua Setiausaha Keselamatan Kementerian Dalam Negeri Datuk Abdul Halim Abdul Rahman berkata, setiap tahun jumlah kes yang direkodkan berkaitan buli siber, pemalsuan, pencerobohan, memancing data dan penipuan e-mel meningkat hampir sekali ganda.
Katanya, tahun lepas bilangan kes jenayah siber meningkat kepada lebih 20,000 kes dengan jumlah kerugian sebanyak RM560 juta berbanding 13,000 kes dan kerugian berjumlah RM539 juta yang direkodkan pada 2019.
Menurutnya lagi, keselamatan siber yang kukuh begitu penting pada masa kini yang mana negara sedang menuju ke arah Revolusi Industri 4.09 (IR4.0) kerana ia akan bergantung sepenuhnya kepada teknologi digital.
“Sebarang isu melibatkan keselamatan siber akan memberi kesan terhadap kerajaan, ekonomi, sosial dan masyarakat.
“Di kala kita bergerak ke hadapan dan hidup dengan teknologi di mana bandar pintar sedang dibina dan misi data kritikal dihantar ke pangkalan data menggunakan internet, isu keselamatan siber perlu diletakkan di barisan hadapan di keseluruhan ekosistem digital.
“Banyak ancaman semasa dan baharu muncul membabitkan teknologi baharu yang tidak pernah didengar dalam tempoh sedekad yang lalu,” katanya dalam ucapan sempena Seminar Sasaran Penting Peringkat Kebangsaan 2022.
Tambah beliau, menjelang 2025 ekonomi digital dijangka akan menyumbang kira-kira 22.6% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Sehubungan itu katanya, negara perlu mengenal pasti ancaman yang berpotensi mendatangkan gangguan kepada sasaran penting dan sektor ekonomi secara umumnya.
“Keperluan untuk memperoleh ruang siber yang selamat dan terjamin pada hari ini adalah amat penting untuk meningkatkan agenda keselamatan siber bagi kepentingan sasaran penting di negara ini.
“Penting untuk pemilik atau penghuni sasaran penting sentiasa memberi tumpuan dan perhatian agar keselamatan maklumat sentiasa terjaga dan diberi kawalan keselamatan yang sewajarnya agar tidak berlaku sebarang kebocoran maklumat lebih-lebih dari dalam instalasi itu sendiri,” jelasnya.
Dalam pada itu beliau turut berkata bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang sedang membangun dan aspek keselamatan adalah obligasi utama bagi mengekalkan kedualatan negara.
Sumber: UB