Seminggu sudah kita disaratkan dengan pendedahan skandal kapal tempur pesisir (LCS) dengan kata kunci – RM6 billion hangus, satu kapal pun tidak kelihatan.
Hanya KD Maharaja Lela (LCS 1) sahaja yang muncul seketika pada Ogos 2017 untuk tujuan perasmian, namun ia terus hilang dari radar walaupun selepas 5 tahun dirasmikan. Agak melucukan apabila ada pihak yang mendakwa kapal tersebut hanya ‘replika’ dan satu Malaysia dikatakan kena ‘scam’. Saya secara peribadi terpaksa percaya ianya adalah kapal yang benar, mana mungkin mereka mengolok-olokkan sebuah majlis yang dihadiri Sultan Perak.
Skandal LCS membuka mata rakyat Malaysia dengan begitu luas sehingga menjadi topik hangat perbualan kedai kopi di ceruk kampung apabila mereka bertanya apakah kapal ini terlalu hebat hingga bukan sahaja gagal dikesan oleh radar pihak musuh tetapi ia juga tidak mampu dijumpai oleh radar pasukan sendiri?
Lebih menghiburkan, turut tercatat dalam mukasurat 107 laporan PAC yang mengesahkan CEO BNS, Ir Azhar Jumaat mengaku RM400 juta dana LCS tidak diguna untuk membina kapal LCS tetapi digunakan untuk membayar hutang lapuk BNS bagi projek NGPV pada 2014 dan 2015. Natijahnya, kecairan kewangan BNS terkesan sehingga ada OEM yang tidak menerima bayaran yang akhirnya menjadi salah satu punca lewatnya persiapan LCS.
Beberapa pihak dikhuatiri hampir rentung dengan pendedahan skandal LCS. Mereka panik dengan serangan bertali arus lalu mencari jalan mudah dengan menuduh kononnya Pakatan Harapan telah menghentikan progres LCS. Namun telah dijelaskan dalam laporan PAC mukasurat 48, ‘Stop Work’ atau pemberhentian kerja-kerja pelaksanaan pada April 2018 disebabkan oleh kegagalan pihak BNS melunaskan bayaran terhadap pihak OEM. Pada tanggal April 2018, PH masih belum lagi menjadi Kerajaan.
Saya tidak berhasrat untuk mengulas soal teknikal, biarlah Rafizi Ramli konsisten mendedahkan secara terperinci bagaimana harga sebuah LCS hanya sekitar RM397 juta tetapi dibilkan pada harga RM1.2 billion. Biarlah juga Mat Sabu dan Liew Chin Tong mencerakinkan selaku bekas Menteri Pertahanan bahawasanya reka bentuk terperinci (detailed design) yang sepatutnya siap pada November 2016 belum lagi dimuktamadkan sehingga sekarang.
Apa yang saya ingin suarakan di sini ialah, skandal LCS ini merupakan satu malapetaka yang memperjudi keselamatan negara. Soal wang rakyat berbilion lesap itu satu perkara, namun soal seterusnya ialah kelewatan LCS bukan sahaja menjejaskan keupayaan tempur TLDM malahan menurut kenyataan TLDM 6 Ogos lalu, moral anggotanya juga merundum dalam usaha menjalankan tanggungjawab yang lebih berkesan. Dengan kata lain, Skandal LCS satu pengkhianatan kepada kedaulatan negara. Memang serius!
Mujurlah rakyat Malaysia bertekad menghumban BN dari takhta pemerintahan pada PRU14 lalu maka isu LCS ini berjaya digali sedalam-dalamnya. Andainya dibiarkan mereka terus mentadbir (atau menjarah?), skandal seperti ini akan disapu ke bawah karpet tanpa sempat kita mengetahui ketirisan berbilion ringgit. Adakah rakyat masih akan berdiam, atau menghadam skandal penyelewengan ini dan ditafsirkan hingga ke peti undi?
Semoga rakyat Malaysia sekali lagi mampu menumbangkan BN pada PRU-15 dengan memberi undi kepada Pakatan Harapan dan seterusnya mengangkat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. Jika PRU-14 lalu ketumbangan BN dibantu oleh kapal mewah Equanimity, inshaAllah kali ini BN akan dikalahkan dengan bantuan kapal tempur halimunan LCS.
Akhir sekali, saya selaku rakyat Malaysia menggesa agar satu usul tergempar perlu dibentang dan dibahaskan di Dewan Rakyat, dan saya turut mendesak satu Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan bagi menyiasat dan mengheret pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan dengan segera.
Sumber: Edy Noor Reduan (Aktivis Blogger)