KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mahu lebih banyak program pendidikan, keusahawanan dan kepimpinan dilaksanakan bagi memperkasa wanita di negeri ini.
Beliau berkata, usaha itu penting bagi memastikan lebih ramai wanita terlibat secara aktif dalam bidang ekonomi, pendidikan dan kepimpinan, selaras dengan aspirasi pembangunan negeri.
Menurutnya, kerjasama erat antara Majlis Penasihat Wanita Sabah dan pelbagai agensi, khususnya Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah, wajar diteruskan dalam memperkukuh pelaksanaan program pemerkasaan wanita.
“Saya mahu melihat lebih ramai wanita terlibat secara aktif dalam bidang ekonomi, pendidikan dan kepimpinan yang diusahakan oleh MPWS,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan delegasi MPWS yang diketuai Pengerusinya, Rosmawati Haji Lasuki di Menara Kinabalu, di sini, pada Selasa.
Dalam pertemuan itu, Rosmawati memberi taklimat mengenai pelbagai program MPWS yang memberi tumpuan kepada pendidikan, keusahawanan dan kepimpinan wanita.
Katanya, antara inisiatif utama ialah program kepimpinan Global Women @ Sabah (Glow@Sabah) yang bertujuan mengenal pasti wanita berpotensi sebagai pemimpin serta membimbing mereka mencapai potensi sepenuhnya.
Selain itu, beliau turut memaklumkan mengenai sambutan Hari Wanita Negeri yang dijadualkan berlangsung pada 9 September tahun ini.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi MPWS, Datuk Hajah Fauziah DSP Haji Abu Bakar Titingan; Setiausaha merangkap Pengarah JHEWA, Hajah Haslina Ismail serta ahli jawatankuasa MPWS.
