Tawau: Seorang lelaki warga emas berusia sekitar 61 tahun ditahan polis selepas bertindak mengamuk sambil membawa sebilah pisau tajam dalam satu kejadian di kawasan kampung air Batu 4, Jalan Apas, Tawau pagi tadi.
Tindakan pantas anggota unit MPV Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau berjaya mengekang situasi berbahaya itu sebaik menerima makluman daripada Pusat Kawalan Daerah (DCC) Tawau ketika menjalankan rondaan pencegahan jenayah di sekitar bandar.
Jelas Polis Tawau dalam satu kenyataan, setiba di lokasi kejadian, suspek didapati berada dalam keadaan agresif sebelum ditahan serta-merta oleh anggota polis.
“Sebilah pisau tajam turut dirampas bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini serta memastikan keselamatan penduduk setempat terjamin.
“Suspek bersama barang rampasan kemudiannya dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 328/8A dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya di sini, hari ini.
Pihak polis dalam pada itu turut mengingatkan orang ramai agar segera menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya berlaku kejadian mencurigakan bagi membolehkan tindakan segera diambil demi menjaga ketenteraman awam.
