Tawau: Polis menahan empat lelaki dan mengeluarkan 24 saman trafik dalam satu Operasi Bersepadu yang dijalankan awal pagi tadi di kawasan Batu 12, Jalan Apas Tawau.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, operasi dijalankan sebagai usaha membanteras kegiatan lumba haram serta memastikan ketenteraman awam terpelihara.
Katanya, operasi bermula jam 12.00 tengah malam hingga 3.00 pagi itu melibatkan kekuatan 27 pegawai dan anggota daripada pelbagai bahagian termasuk Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) dan Balai Polis Bandar Sri Indah.
“Operasi ini dijalankan bagi membendung aktiviti lumba haram yang sering mengganggu penduduk sekitar serta meningkatkan pengawasan terhadap jenayah narkotik dan kehadiran Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) melalui laluan utama ke Tawau,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurut beliau, empat lelaki berusia antara 20 hingga 24 tahun ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah ketika pemeriksaan dijalankan, dan mereka kini ditahan bagi membantu siasatan lanjut.
Dalam masa sama, polis turut mengeluarkan sebanyak 24 notis saman trafik atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu atau lesen tamat tempoh (11 kes), tidak memakai tali pinggang keledar (1 kes), nombor plat tidak mengikut spesifikasi (2 kes), ubah suai ekzos bising (2 kes) serta tidak memasang cermin sisi dan aksesori keselamatan (4 kes).
ACP Jasmin turut mengingatkan masyarakat, khususnya golongan muda, agar tidak terlibat dalam kegiatan lumba haram atau pengubahsuaian kenderaan secara tidak sah yang boleh mengundang bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.
“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menjejaskan keselamatan awam.
“Orang ramai digalakkan untuk menyalurkan maklumat berhubung aktiviti mencurigakan, penyalahgunaan dadah serta kehadiran PATI bagi membantu pihak polis mengekalkan keamanan di daerah Tawau,” tegasnya.
