Papar: Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun ditemukan maut selepas dipercayai tergelincir di tepi calvert sebelum dihanyutkan arus sungai di Kampung Benoni, Papar.
Mayat mangsa berjaya dijumpai pasukan penyelamat pada hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR), malam tadi.
Ketua Operasi, PBK II Nadzri Rashid dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.20 malam, 23 September lalu, sebelum menggerakkan sembilan anggota bersama sebuah jentera FRT dan sebuah pacuan empat roda ke lokasi.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa tergelincir ketika mandi bersama rakan-rakan di kawasan berkenaan, lalu tenggelam sebelum dihanyutkan arus deras ke sungai berhampiran.
“Operasi SAR dimulakan sejurus pasukan tiba di lokasi dengan kaedah Water Surface dan diperluas sehingga radius 250 meter sepanjang persisiran sungai. Namun, usaha pada malam pertama ditangguhkan pada jam 10 malam,” katanya.
Tambahnya, operasi hari kedua (24 Sept) bermula seawal jam 7 pagi dengan bantuan sebuah bot NADMA serta sebuah bot milik penduduk kampung dan pada jam 9.08 malam, mayat mangsa berjaya ditemui kira-kira 12 meter dari lokasi awal dia terjatuh.
Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10 malam dengan kerjasama PDRM, KKM dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
