KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan, Albert Tei, mendedahkan rakaman perbualannya bersama Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan, yang didakwa berkaitan isu pembatalan lesen penerokaan perlombongan syarikatnya oleh kerajaan negeri.
Rakaman itu, yang dimuat naik oleh portal Malaysiakini, dipercayai dirakam ketika pertemuan di sebuah restoran makanan laut di ibu negara pada 13 Oktober 2024.
Dakwaan Bayaran Sebelum PRU
Dalam perbualan berkenaan, Tei mengimbas kembali pelaburan syarikatnya yang mencecah RM7.7 juta sehingga Mei 2024. Beliau mendakwa telah menyalurkan dana kepada Jeffrey sebelum Pilihan Raya Umum 2020.
“Semua saya sudah support Datuk, saya sudah serah, bagi Datuk RM1.6 juta,” katanya.
Namun menurutnya, selepas PRU tersebut, beberapa lesen penerokaan yang diberikan kepada syarikatnya telah dibatalkan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
“Selepas pilihan raya umum, Datuk ingat kita dapat itu… yang dengan Yayasan Sabah, yang Hajiji kasi cancel itu. Itu tidak apa Datuk, ini RM7 juta macam mana? Ini yang besar, Datuk,” ujar Tei dalam rakaman itu.
Isu Pembatalan Lesen
Difahamkan, pembatalan lesen perlombongan tersebut menjadi antara punca perbincangan Tei dengan Jeffrey. Menariknya, dalam rakaman itu, Jeffrey tidak mengesahkan mahupun menafikan butiran yang disebut Tei.
Penjelasan Kerajaan Negeri
Kerajaan negeri sebelum ini menegaskan bahawa semua aktiviti penerokaan perlombongan memerlukan kelulusan penuh serta tertakluk kepada dasar semasa. Faktor keselamatan, kepentingan awam dan kelestarian alam sekitar turut menjadi pertimbangan utama dalam sebarang keputusan melibatkan lesen penerokaan.
