Kota Marudu: Polis kini giat memburu pemilik sebuah kenderaan Perodua Kelisa yang dipercayai pemandunya melarikan diri selepas terlibat dalam kemalangan maut di Jalan Sabit, Kota Marudu pada 22 September lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Supt. Simiun Lomudin berkata, nahas yang berlaku sekitar jam 4.05 petang itu melibatkan tiga kenderaan iaitu sebuah Toyota Hilux, sebuah motosikal jenis Honda Dash dan Perodua Kelisa berwarna putih/perak dengan nombor pendaftaran yang masih belum dikenal pasti.
“Penunggang motosikal telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian pada jam 4.30 petang, manakala pemandu Kelisa dipercayai terus meninggalkan tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam (23 Sept).
Menurut beliau, sehingga kini pemilik kenderaan berkenaan belum tampil membuat laporan polis.
Polis kini giat mengesan pemandu tersebut selain meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat tampil membantu siasatan.
“Maklumat boleh disalurkan ke Pejabat Trafik IPD Kota Marudu atau terus menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Insp. Julina Samual di talian 010-3901982,” jelasnya.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau berbahaya.
