Kota Kinabalu: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 61 tahun di Semporna, Sabah, kerana disyaki mengugut seorang pakar patologi yang terlibat dalam prosiding inkues kematian pelajar Zara Qairina Mahathir.
Pesuruhjaya Polis Sabah, CP Datuk Jauteh Dikun dalam kenyataan media hari ini berkata, tangkapan dibuat kira-kira jam 7.00 pagi tadi di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna.
Menurut beliau, penahanan itu dibuat selepas polis menerima laporan pada 5 September lalu berhubung ugutan yang dimuat naik melalui akaun Facebook menggunakan nama “Amung Kamaruddin”.
Kenyataan tersebut berunsur jenayah ugutan serta penyalahgunaan kemudahan rangkaian terhadap pakar patologi berkenaan dari Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998,” katanya.
Polis turut merampas sebuah telefon bimbit jenama Redmi daripada suspek.
Hasil semakan awal mendapati gajet tersebut digunakan bagi mengendalikan akaun Facebook “Amung Kamaruddin” yang mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan terhadap pakar patologi berkenaan.
Dalam pada itu, Datuk Jauteh menasihatkan orang ramai supaya menggunakan media sosial secara berhemah dan bertanggungjawab, serta tidak memuat naik kenyataan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam atau menimbulkan keresahan masyarakat.
“Orang ramai perlu sentiasa berfikir sebelum berkongsi apa-apa kandungan di media sosial. PDRM memandang serius sebarang bentuk penyalahgunaan media sosial yang melanggar undang-undang, dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati melakukan kesalahan,” tegasnya.
