Sandakan: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan komitmen untuk terus bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) di peringkat negeri menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, sekali gus menolak sebarang kemungkinan bergabung dengan Barisan Nasional (BN).
Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, keputusan itu dimuktamadkan melalui mesyuarat Majlis Tertinggi GRS, dan ia akan kekal menjadi asas kerjasama kerajaan negeri sedia ada.
“Kita di GRS telah putuskan bahawa kerjasama dalam kerajaan sekarang ini akan terus bersama PH,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Sandakan pada Jumaat.
Hajiji berkata demikian ketika mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang sebelum ini menegaskan kerjasama antara UMNO dan GRS adalah “tidak mungkin berlaku”.
Menurut beliau, realiti politik Sabah sememangnya unik dan dinamik, dengan sejarah pernah menyaksikan parti yang menjadi pembangkang di negeri namun tetap bersama kerajaan di peringkat pusat.
“Ini bukan perkara baru dalam politik Sabah. Apa yang penting ialah kestabilan dan keberlangsungan kerajaan negeri. Jadi, kerjasama GRS dan PH akan terus dipertahankan menjelang PRN,” tegasnya.
