KOTA KINABALU – Pakar Patologi Forensik, Dr Jessie Hiu menegaskan bahawa kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir tidak mungkin berpunca daripada terjatuh secara tidak sengaja ataupun akibat ditolak ketika berada di lokasi kejadian.
Dr Hiu, yang berkhidmat di Hospital Queen Elizabeth sejak 1998, berkata beliau diminta memberikan pendapat profesional pada 2 Ogos lalu berhubung kecederaan antemortem (sebelum kematian) yang dialami arwah.
“Saya telah meneliti rekod perubatan si mati, termasuk radiograf, laporan imbasan CT serta CTA, selain turut melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian,” katanya ketika membacakan kenyataan bertulis setebal lima muka surat di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, hari ini.
Menurut beliau, hasil siasatan di asrama tempat kejadian mendapati ukuran dari lantai ke rel besi melintang paling atas pada tembok konkrit tingkat tiga adalah 118 sentimeter (sm). Sedangkan ketinggian antemortem Zara Qairina direkodkan 154 sm, iaitu perbezaan setinggi 36 sm.
“Ketinggian rel besi itu melebihi tiga perempat daripada ketinggian tubuh si mati dan berkemungkinan berada di atas pusat graviti badannya. Lazimnya, bagi wanita, pusat graviti terletak di kawasan pelvis, iaitu sedikit di bawah pusat apabila berdiri,” jelasnya.
Berdasarkan ukuran tersebut, katanya, secara fizikal adalah berkemungkinan untuk si mati memanjat tembok konkrit, melepasi rel besi, dan berdiri di atasnya.
Dr Hiu turut memaklumkan bahawa sepanjang perkhidmatannya, beliau mengendalikan dan menyelia antara 100 hingga 150 bedah siasat setahun, selain kerap dipanggil memberi keterangan sebagai saksi pakar antara 10 hingga 15 kali setahun di Mahkamah Majistret, Sesyen dan Tinggi di Sabah serta Labuan.
Prosiding inkues bagi menentukan punca kematian Zara Qairina bermula hari ini dan esok, sebelum disambung pada 8 hingga 12 September, 17 hingga 19 September serta 22 hingga 30 September 2025 di Mahkamah Koroner, Kota Kinabalu.
Kredit Foto: Sabah Media
