PROVIDENCE, RHODE ISLAND: Hakim municipal terkenal Amerika Syarikat, Frank Caprio, yang lebih dikenali menerusi rancangan Caught in Providence, disahkan meninggal dunia pada usia 88 tahun selepas bertarung dengan kanser pankreas.
Keluarga mendiang dalam satu kenyataan berkata, Caprio pergi dengan tenang dan akan dikenang kerana sifat belas kasihan, kerendahan hati serta keyakinan terhadap kebaikan manusia.
Caprio mendapat jolokan “Nicest Judge in the World” apabila pendekatannya di kamar mahkamah sering mempamerkan sisi kemanusiaan.
Klip beliau menangguhkan saman atau meringankan hukuman kerana faktor kemanusiaan kerap tular di media sosial, termasuk TikTok, hingga meraih jutaan tontonan.
Rancangan realiti Caught in Providence yang menampilkan beliau turut menerima pencalonan Daytime Emmy dan menjadikan Caprio figura global dengan jutaan pengikut di Instagram dan TikTok.
Gabenor Rhode Island, Dan McKee, menyifatkan Caprio sebagai “harta negeri” dan mengarahkan bendera dikibarkan separuh tiang sebagai tanda penghormatan.
Sepanjang lebih empat dekad berkhidmat, Caprio dikenali sebagai hakim yang menekankan keadilan berasaskan empati serta memperjuangkan akses keadilan buat golongan kurang berkemampuan.
