Kota Kinabalu: Jabatan Peguam Negara (AGC) mengesahkan seramai lima remaja bawah umur akan didakwa di Mahkamah Kanak-kanak Kota Kinabalu pada Rabu ini berhubung kes buli pelajar Tingkatan Satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, kesemua individu terbabit berusia bawah 18 tahun dan akan dibawa ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan.
“Seramai lima orang yang akan dituduh dan mereka berusia di bawah 18 tahun,” katanya ringkas seperti dilaporkan Berita Harian.
Sementara itu, dalam satu kenyataan media berasingan, Jabatan Peguam Negara memaklumkan pihaknya telah meneliti kertas siasatan yang dikemukakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini dan membuat keputusan untuk mendakwa suspek berdasarkan keterangan yang ada.
AGC menjelaskan bahawa pertuduhan dibuat atas kesalahan buli dan ia tidak akan menjejaskan prosiding inkues kematian Zara Qairina yang bakal bermula pada 3 September depan di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu.
Jabatan itu turut menegaskan, walaupun pertuduhan terhadap suspek kes buli dilakukan, siasatan polis berkaitan kematian pelajar berusia 13 tahun itu tetap diteruskan. Prosiding inkues juga akan menjadi platform untuk merungkai punca sebenar kematian, sama ada melibatkan unsur jenayah atau kecuaian.
Allahyarhamah Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri berhampiran longkang asrama SMKA Tun Datu Mustapha, Papar, pada 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia sehari kemudian.
