SEPANGGAR: Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Darau mengecam kenyataan Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mustapha Sakmud yang menyifatkan dan menuduh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai liabiliti.
Ketua Pemuda Gagasan Rakyat Darau, Abqaree Fawwaz Abekan berkata, tuduhan itu tidak lebih daripada usaha menutup kegagalan Mustapha sendiri yang masih belum menyelesaikan masalah asas di kawasan Sepanggar.
“Rakyat Sepanggar masih berdepan rungutan sama setiap hari, air paip tidak stabil, jalan berlubang dan sesak, elektrik pula kerap terputus. Ini realiti yang dihadapi masyarakat setempat, tetapi sehingga kini tiada penyelesaian konkrit daripada wakil rakyat kawasan ini,” katanya.
Abqaree menegaskan Mustapha sepatutnya menumpukan perhatian kepada kerja di kawasan parlimennya sendiri dan bukannya sibuk menuding jari kepada pihak lain.
“Mustapha sepatutnya bekerja keras turun padang menyelesaikan masalah rakyat. Malangnya, beliau lebih sibuk mencari salah orang lain. Jangan jadi pemimpin yang hanya tahu bercakap di media, tetapi gagal membawa perubahan. Ukur baju di badan sendiri dahulu,” katanya.
Menurut beliau, liabiliti sebenar bukanlah GRS, tetapi Mustapha sendiri kerana gagal membuktikan prestasi sebagai wakil rakyat.
“Sejak dipilih, beliau lebih banyak berpolitik di media nasional daripada benar-benar turun padang mendengar keluhan rakyat. Sementara itu, GRS terus konsisten membawa kestabilan politik dan membela rakyat Sabah,” katanya.
