TAMPARULI: Seorang warga emas berusia 67 tahun maut selepas terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira 150 meter ketika dalam perjalanan menuju ke kebun di Kampung Kionsom Baru, Tamparuli, semalam.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui MERS999 pada jam 8.14 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran bergegas ke lokasi kejadian.
Seramai 10 anggota dengan kekuatan satu jentera FRT dan sebuah EMRS digerakkan ke lokasi, tiba kira-kira jam 8.35 malam.
Operasi diketuai oleh Komander Operasi, PBK I Mahmud Jumah.
“Hasil operasi mendapati mangsa berada di dalam gaung dengan kedalaman lebih 150 meter.
“Pasukan bomba bertindak menaikkan mangsa menggunakan peralatan khas. Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di lokasi,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya.
Operasi berjaya dikawal pada jam 10.00 malam dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.40 malam.
