KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, bersama isteri, Datin Juliah Salag, hari ini menyantuni ibu kepada Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, Puan Noraidah Lamat, di Sri Gaya bagi menyampaikan takziah dan simpati mendalam.
Pertemuan tersebut turut dihadiri anggota Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat Sabah (Mutiara GRS), sebagai tanda sokongan dan solidariti kepada keluarga mangsa.
“Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya amat bersimpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarhamah. Kami mendoakan agar mereka diberi kekuatan menghadapi dugaan berat ini,” kata Hajiji.
Beliau menjelaskan, kerajaan negeri sejak awal telah menunjukkan keprihatinan terhadap kes ini, termasuk mengarahkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Exco Pendidikan Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, bersama ADUN Kawang, Datuk Sri Ghulamhaidar Khan Bahadar, menziarahi Zara ketika mangsa masih dirawat di hospital.
Hajiji mengakui gelombang solidariti #JusticeforZara yang digerakkan netizen adalah usaha baik untuk menuntut keadilan, namun mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi tidak wajar yang boleh menjejaskan siasatan.
“Kita serahkan kepada pihak polis dan pihak berwajib lain untuk membuat siasatan, dan berharap ia dapat dilengkapkan secepat mungkin demi mendapatkan keadilan untuk semua pihak,” tegasnya.
Sementara itu, Datin Seri Juliah Salag berkata, beliau amat memahami perasaan seorang ibu yang kehilangan anak tersayang.
“Keselamatan anak-anak, khususnya pelajar asrama, mesti diutamakan agar tragedi seperti ini tidak berulang,” katanya.
Allahyarhamah Zara Qairina, pelajar tingkatan satu SMKA Tun Datu Mustapha, Papar, meninggal dunia pada 17 Julai lalu selepas ditemui tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya.
