LAHAD DATU: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Majistret Lahad Datu hari ini selepas mengaku bersalah mengugut untuk membunuh bapa kandungnya dalam satu kejadian yang mengejutkan ahli keluarga mangsa pada bulan lepas.
Tertuduh, Azizan Azman Lee, membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, iaitu melakukan ugutan jenayah.
Hakim Nur Asyraf Zolhani menjatuhkan hukuman tersebut selepas mengambil kira pengakuan tertuduh, fakta kes serta rekod lampau yang membabitkan kes jenayah dan dadah. Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Sitti Zubaeda M Kasim.
Menurut fakta kes, kejadian berlaku pada 30 Julai 2025 kira-kira jam 6.15 petang di rumah mangsa apabila tertuduh mengamuk sambil memegang sebilah parang dan mengeluarkan ugutan kepada bapanya dengan berkata,
“Aku selasing daddy.”
Kata-kata itu menimbulkan ketakutan terhadap mangsa, lebih-lebih lagi kerana tertuduh pernah ditangkap atas kesalahan serupa sebelum ini. Kejadian turut disaksikan oleh cucu mangsa yang berada di lokasi pada waktu itu.
Siasatan mendapati punca kemarahan tertuduh berpunca daripada rasa tidak puas hati apabila mengetahui gitar yang diberikan oleh mangsa kepadanya telah dipinjamkan kepada cucu mangsa yang sedang melanjutkan pengajian dalam bidang muzik di Kota Kinabalu.
Selain tidak mempunyai pekerjaan tetap, tertuduh juga didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine berdasarkan hasil saringan air kencing. Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan.
Kes ini menjadi peringatan keras bahawa ancaman terhadap ahli keluarga sendiri adalah satu kesalahan serius yang tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang.
