LAHAD DATU: Seorang wanita bukan warganegara ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam kegiatan penipuan penjualan minyak masak bersubsidi di sekitar daerah ini.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Ismail memaklumkan, tangkapan dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu susulan aduan yang diterima daripada mangsa yang terpedaya dengan tawaran jualan minyak masak dalam kuantiti besar.
“Siasatan awal mendapati suspek menawarkan jualan minyak masak bersubsidi pada harga menarik, namun selepas menerima pembayaran, dia tidak menghantar barang yang dijanjikan. Sebaliknya, wang yang diperoleh digunakan untuk membayar hutangnya sendiri.
“Suspek tidak memiliki sebarang Lesen Runcit Barang Kawalan Berjadual daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Wanita tersebut kini ditahan reman bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan menipu dengan cara memperdaya bagi mendapatkan wang secara tidak sah.
Pihak polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan memastikan penjual memiliki lesen sah sebelum melakukan sebarang transaksi, terutamanya melibatkan barang kawalan seperti minyak masak bersubsidi.
Kes masih dalam siasatan dan polis tidak menolak kemungkinan terdapat mangsa lain dalam penipuan ini.
