LAHAD DATU: Polis Daerah Lahad Datu telah menahan tiga orang wanita tempatan yang merupakan adik-beradik selepas disyaki menyalahgunakan kad ATM milik orang lain untuk membuat pembelian peribadi.
Penahanan dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu selepas menerima laporan daripada mangsa yang menyedari kad debit Agro Bank miliknya telah hilang dan digunakan tanpa pengetahuannya.
Menurut siasatan awal, kad tersebut digunakan oleh suspek beberapa kali di premis perniagaan sekitar Lahad Datu melalui fungsi “paywave” bagi tujuan perbelanjaan harian dan pembelian peribadi.
“Pengadu menyedari kehilangan kad dan membuat semakan transaksi. Beberapa pembayaran dikesan dibuat tanpa kebenarannya sebelum laporan polis dibuat,” kata jurucakap IPD Lahad Datu.
Hasil siasatan lanjut berjaya mengenal pasti ketiga-tiga suspek yang kemudiannya mengaku menggunakan kad ATM tersebut.
Kesemua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997, yang memperuntukkan hukuman denda atau penjara jika sabit kesalahan.
Pihak polis menasihatkan orang awam agar segera melaporkan sebarang kehilangan kad bank serta memastikan dokumen peribadi sentiasa berada dalam kawalan untuk mengelakkan penyalahgunaan.
