TAWAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Datuk Rina Jainal memohon kerajaan negeri agar segera meluluskan peruntukan bagi pembangunan dua tapak tanah perkuburan Islam baharu di daerah ini.
Beliau berkata, keperluan itu kini sangat mendesak memandangkan tanah perkuburan sedia ada di Jalan Utara Kukusan hampir mencapai kapasiti maksimum dan kawasan sekitar pula tidak sesuai untuk pengembangan akibat pembangunan pesat serta nilai hartanah yang tinggi.
“Tanah perkuburan adalah sebahagian daripada urusan fardu kifayah yang wajib diberi perhatian. Kita tidak boleh berlengah apabila melibatkan pengurusan jenazah umat Islam,” katanya.
Rina berkata, dua lokasi dikenal pasti sesuai iaitu di Jalan Baradaya dan Merotai yang mampu menampung keperluan penduduk Islam di Kukusan, Tawau dan Kalabakan dalam jangka masa panjang.
Beliau menyuarakan perkara itu ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Van Jenazah kepada Masjid Nurul Taqwa, Kampung Jawa Lanut semalam.
Van jenazah tersebut merupakan yang pertama diluluskan untuk kawasan DUN Kukusan.
Rina yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Sabah memaklumkan bahawa permohonan rasmi peruntukan telah dihantar kepada pihak berkaitan termasuk kerajaan negeri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), dan berharap kelulusan diberikan segera.
“Pembinaan tanah perkuburan bukan hanya soal fizikal tetapi keperluan sosial dan keagamaan yang wajib diutamakan oleh kerajaan,” jelasnya.
Dalam masa yang sama, beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap pemberian van jenazah kepada Masjid Nurul Taqwa yang dijangka memanfaatkan lebih 20,000 penduduk Mukim Sentosa dan kawasan sekitar, yang sebelum ini terpaksa bergantung kepada bantuan luar untuk pengurusan jenazah.
Tambah beliau, permohonan bagi van jenazah tambahan telah dibuat oleh Surau Kampung Airport Lama untuk kegunaan penduduk di Padang Terbang dan kawasan berhampiran.
“Saya menyarankan masjid dan surau supaya mewujudkan tabung penyelenggaraan van jenazah agar kemudahan ini boleh digunakan secara berterusan tanpa hanya bergantung kepada kerajaan,” katanya.
Rina menegaskan bahawa usaha memperkukuh pengurusan jenazah dan penyediaan tanah perkuburan adalah sebahagian daripada komitmen ke arah kesejahteraan rakyat, selari dengan agenda Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam membangunkan modal insan yang holistik.
