TAWAU: Seorang wanita berusia 39 tahun yang bertindak agresif sambil memegang parang di hadapan sebuah premis perniagaan di pusat bandar Tawau berjaya ditahan polis, petang semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin bin Hussin, kejadian berlaku sekitar jam 5 petang apabila suspek dilihat memegang sebilah parang dalam keadaan mencurigakan sambil memandu kereta jenis Proton Saga.
“Tindakan pantas anggota rondaan Bit dari Balai Polis Tawau berjaya mengelakkan situasi menjadi lebih buruk. Sebaik menerima maklumat daripada Pusat Kawalan Daerah (DCC), pasukan rondaan segera ke lokasi dan berjaya menahan suspek serta merampas senjata tersebut,” katanya.
Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat sebilah kapak disimpan di dalam bonet kereta suspek.

Kesemua barang termasuk parang, kapak dan kenderaan telah dirampas dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah. Polis masih menyiasat motif sebenar kejadian dan menyeru orang ramai agar menyalurkan maklumat bagi menjaga keselamatan awam.
Sumber: Facebook Polis Daerah Tawau
