KOTA KINABALU: Pentadibran Kerajaan Negeri Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor perlu dikekalkan hingga tamat tempoh dan tidak wajar dibubarkan lebih awal bagi mengekalkan kestabilan negeri, kesejahteraan rakyat dan seterusnya menghormati mandat rakyat.
Ketua Penerangan PAS Sabah, Mustaman Mustain berkata, saranan yang dikemukakan pihaknya ini mengambil kira beberapa aspek yang memicu kegusaran rakyat sekiranya DUN Sabah dibubarkan lebih awal berdasarkan desakan yang dibuat oleh beberapa pihak yang memiliki kepentingan tertentu.
“Belanjawan Sabah 2025 misalnya yang baru sahaja diluluskan dengan jumlah tertinggi dalam sejarah (RM6.421 bilion) disertai pelbagai inisiatif mesra rakyat akan terbantut sekiranya DUN Sabah dibubarkan lebih awal.
“Rancangan kerajaan negeri seperti bantuan khas RM300 sebulan buat golongan miskin, pembinaan Rumah Mesra SMJ dan bantuan RM5,000 kepada peniaga gerai kecil sudah pasti akan terganggu sekali gus memberi kesan langsung kepada rakyat yang memerlukan.
“PAS Sabah juga melihat mengekalkan DUN Sabah sehingga tamat tempoh adalah sebagai tanda penghormatan kepada mandat rakyat yang diterima pada 2020.
“Pembubaran awal dianggap sebagai pengkhianatan kepada kepercayaan rakyat yang mahu melihat kerajaan yang mereka pilih mampu membuktikan kemampuan sehingga tamat penggal,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Tegas beliau lagi, sewajarnya semua pihak perlu kembali fokus kepada isu rakyat tanpa desakan pembubaran DUN lebih awal yang mempu menyumbang kepada gangguan politik.
Selain itu, katanya, isu kritikal seperti pembangunan infrastruktur, pendidikan, dan ekonomi luar bandar perlu ditangani dengan sebaik mungkin, sebaliknya pilihan raya awal hanya akan mengalihkan perhatian kerajaan daripada menyelesaikan isu-isu utama rakyat yang sepatutnya fokus kepada pentadbiran.
“PAS Sabah juga melihat dengan menolak cadangan pembubaran DUN lebih awal adalah bagi mengelakkan bebanan kewangan dan risiko bebanan perasaan kepada pengundi. Selain membebankan kewangan negara, rakyat yang sudah letih dengan politiking melampau dilihat muak dengan tindakan pihak yang mendesak DUN dibubarkan lebih awal tanpa sebab yang munasabah.
“Tambahan lagi, buat masa kini, tiada keperluan mendesak untuk pembubaran DUN memandangkan Kerajaan Negeri Sabah tidak menghadapi masalah pentadbiran kritikal yang memerlukan pembubaran awal. Walaupun muncul isu rasuah yang diuar-uarkan, ia boleh diselesaikan melalui mekanisme sedia ada seperti SPRM tanpa perlu mengganggu kestabilan politik.
“Adapun, pandangan sesetengah pihak yang mendesak DUN dibubarkan lebih awal dilihat hanya untuk memenuhi kepentingan peribadi pihak tertentu yang jelas mengenepikan kepentingan rakyat,” tegasnya.