KOTA KINABALU: Kejadian kemarau kini mula menjejaskan penduduk kawasan tanah tinggi di kawasan Sepanggar yang kini sedang mengalami krisis air.
Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mustapha Sakmud berkata, bekalan air di kawasannya itu kini berada pada tahap kritikal selain berlaku kebarakan terbuka di mana-mana tempat.
“Sebelum ini, isu air hanya menjejaskan kawasan di tanah rendah tetapi bekalan air graviti semakin berkurangan dan penduduk yang terjejas sedang menuju ke kawasan lebih tinggi untuk mencari bekalan air.
“Ramai yang meminta air tetapi pada masa sama banyak tempat tidak dapat dilalui oleh lori tangki air, jadi kami hanya mampu memberikan air mineral, kami sudah janji untuk bantu tapi ianya tidak mudah dengan bekalan kita juga yang terhad,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan majlis berbuka puasa bersama Jabatan bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas pada Jumaat.
Mustapha yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi berkata, beliau percaya kerajaan negeri pada masa ini sedang berusaha untuk mencari cara yang berkesan dalam menangani isu ini.
“Pejabat Parlimen Sepanggar juga kini sedang mencari jalan untuk menambah baik bekalan air graviti,” jelasnya.