PAPAR: Daerah Papar diisytiharkan mengalami Bencana Kemarau pada hari ini dengan hampir 150,000 penduduk kawasan itu kini berdepan krisis bekalan air.
Pengisytiharan itu dilakukan oleh Pegawai Daerah Papar, Mohd Fuad Abdullah pada jam 10.30 pagi tadi.
Fuad dalam satu kenyataan media hari ini berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Papar yang bermesyuarat pada 8 Mac lalu bersetuju untuk mengumumkan perkara itu.
Katanya, tindakan sedang diambil oleh JPBD Papar untuk menangani krisis bekalan air di Papar.
“Pengagihan bekalan air yang dibuat secara berjadual turut mendapatkan bantuan lori tangki air daripada Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) Ranau, Majlis Daerah Beaufort, Jabatan Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu dan selebihnya disewa daripada pihak swasta.
“JANS Papar akan memberi keutamaan kepada hospital, rumah-rumah ibadat, rumah warga tua dan sekolah-sekolah,” katanya.
Fuad yang juga Pengerusi JPBD Papar berkata, Majlis Daerah Papar memberi keutamaan kepada kawasan-kawasan perumahan, manakala Pejabat Parlimen Papar di kawasan-kawasan perkampungan.
“Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna JANS Papar dan Majlis Daerah Papar tidak membekalkan air ke kawasan penduduk-penduduk yang terkesan,” jelasnya.