BEAUFORT: Hubungan antara koperasi perlu dilakukan untuk ahli-ahli dalam koperasi dapat bekerjasama menggerakkan koperasi masing-masing.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam berkata, hal itu perlu kerana setiap koperasi memang mempunyai aktiviti yang berbeza dan pada masa sama boleh bekerjasama dengan mana-mana koperasi lain.
“Contohnya, Koperasi Peniaga Usahawan Inanam Berhad (KOUPIO) boleh mendapatkan pelancong-pelancong, mereka boleh mempromosi dan mereka boleh gunakan kekuatan yang ada di Koperasi Bersatu Kampung Suasa Beaufort Berhad (KOBESA).
“Kerana kita sini mempunyai ‘Proboscis Monkey’, kunang-kunang dan makanan laut dan ini juga kita boleh lakukan atas kerjasama dengan koperasi-koperasi,” katanya ketika ditemui media selepas menerima lawatan sambil belajar oleh KOUPIO di Walai Tradisi Bisaya Kampung Suasa, semalam.
Ruslan yang juga ADUN Lumadan dan Pengerusi KOBESA berkata, lawatan itu adalah sebagai penanda aras kepada koperasi itu untuk menimba ilmu dalam gerakan koperasi mereka selain dapat menjalin kerjasama yang baik.
“Dalam koperasi ini juga kita akan melalui pelbagai cabaran dan bila kita melepasi cabaran itu kita akan dapat mengurus koperasi dengan baik dan mendapat pendapatan yang baik seterusnya dapat mengagihkan dividen kepada ahli-ahli koperasi seperti mana yang mereka harapkan.
“Selain itu, kita perlu berkursus untuk meningkatkan ilmu pengetahuan untuk kita memberi kemahiran sebagaimana yang kita perlu seperti pengorbanan dan kita perlu melihat potensi-potensi yang ada di kawasan masing-masing.
“Saya yakin negeri kita ini kaya dengan khazanah, pelancongan, pertanian, kraf tangan, kebudayaan dan juga makanan tradisional,” katanya.
Jelas beliau, itu semua boleh dikoperasikan sekiranya peluang tersebut dimanfaatkan sebaik mungkin selain mampu menjalin hubungan baik dengan komuniti setempat.