KOTA KINABALU: Kegagalan Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menerajui kerajaan negeri Sabah sebelum ini menjadi punca parti itu ditolak oleh rakyat.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor membidas Shafie yang didakwa menjaja politik bohong.
Katanya, tujuan bekas Ketua Menteri itu tidak lain daripada mahu merendahkan kerajaan (Gabungan Rakyat Sabah) GRS-PH Plus yang mentadbir negeri itu ketika ini.
“Saya tidak nampak apa dia buat dua tahun setengah di Sabah, kerana itulah Warisan dan Shafie ditolak rakyat kita, tidak boleh kelentong atau cakap kosong dan bohong.
“Cakap sana sini kerajaan GRS gagal, apa gagalnya? Yang gagal adalah Shafie dan Warisan. Mereka pembohong, menjaja cerita yang bukan-bukan, buat fitnah, ini tabiat pemimpin-pempimpin Warisan terutama Shafie,” ujarnya ketika berucap pada Mini Karnival Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) di sini, hari ini.
Sementara itu, Hajiji yang juga Pengerusi GRS dan Presiden Gagasan Rakyat menegaskan, beliau tidak akan berkata demikian jika benar Warisan tidak gagal memerintah Sabah, namun apa yang dilihat adalah sebaliknya.
“Saya bercakap ini kerana saya nampak, kalau mereka tidak gagal sudah tentu mereka terus menjadi kerajaan.
“Dulu jadi Ketua Menteri, bukan mendapat mandat rakyat, masa jadi Ketua Menteri, dia bubar Dewan Undangan Negeri (DUN) pun tidak mendapat mandat rakyat. Apa yang mahu dijaja di Sabah sekarang ini, cakap macam-macam tapi kosong,” tegasnya.