SHAH ALAM: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu segera menguatkuasakan undang-undang bagi mengekang perbuatan guru yang memuat naik bahan berkaitan isu dalaman sekolah di media sosial.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang berkata, jika tiada sebarang tindakan secara menyeluruh, ia akan memberi impak negatif terhadap institusi pendidikan negara.
Menurutnya lagi, media sosial perlu menjadi platform pendidikan yang lebih komprehensif dan bukan menjadi tempat meluahkan rasa tidak puas hati sehingga membelakangi profesion sebagai guru, lapor Sinar Harian.
“KPM perlu segera menguatkuasakan undang-undang bagi mengekang masalah ini daripada terus berlaku dan kita khuatir jika terus dibiarkan terlalu lama akan beri impak negatif kualiti guru.
“Platform media sosial memang bagus untuk mendidik dan kalau kandungan yang dipaparkan itu positif kita sokong, tetapi jika ia bersifat mengkritik dan membelakangi pihak sekolah itu tidak boleh disokong sama sekali,” katanya pada Jumaat (1 Mac).
Terdahulu, Exco Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin mengingatkan semua guru di negeri itu supaya tidak sesuka hati memuat naik perkara yang tidak baik atau masalah yang berlaku di peringkat sekolah di media sosial.
Menurutnya, kandungan berkaitan masalah yang berlaku diperingkat sekolah sudah banyak tular di media sosial dan ia memerlukan pemantauan di peringkat guru besar, pengetua dan juga Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).