KOTA KINABALU: Projek pembangunan bersepadu Ulu Padas bakal menyalurkan bekalan air stabil dari Sipitang ke Kota Kinabalu selain memperkukuh penjanaan tenaga bersih negeri menjelang 2030, sekali gus meningkatkan keterjaminan sumber asas untuk rakyat Sabah.
Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Azrul Ibrahim berkata, projek berskala besar itu menggabungkan komponen tenaga dan bekalan air secara menyeluruh bagi memastikan kestabilan jangka panjang.
Menurutnya, bagi komponen tenaga, projek hidroelektrik Ulu Padas berkapasiti 187.5 megawatt (MW) dengan anggaran penjanaan tahunan sekitar 1,052 gigawatt jam (GWh), menyumbang kira-kira 15 peratus kepada kapasiti tenaga boleh diperbaharui Sabah.
“Apabila mencapai tarikh operasi komersial (COD) menjelang 2030, projek ini akan diperkukuh dengan pembangunan solar terapung berkapasiti 150MW antara 2030 hingga 2031, menjadikan jumlah keseluruhan 337.5MW tenaga boleh diperbaharui,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Ahad.
Dalam masa sama, beliau berkata, komponen empangan yang dijadual bermula pertengahan 2026 dan siap pada akhir 2029 akan menjadi sumber utama bekalan air negeri dengan kapasiti sehingga 6,000 juta liter sehari.
“Pembangunan ini akan mengurangkan kebergantungan kepada sumber sungai yang terdedah kepada risiko kemarau, selain memastikan bekalan air lebih stabil, terancang dan berdaya tahan,” jelasnya.
Tambah beliau, skop projek bekalan air itu merangkumi pembinaan kemudahan pengambilan air mentah berkapasiti 385 juta liter sehari (MLD) bersama stesen pam, loji rawatan air berkapasiti 350 MLD serta rangkaian paip air terawat sepanjang kira-kira 220 kilometer dari Sipitang ke Kota Kinabalu dengan cabang ke Kuala Penyu.
Selain itu, tujuh takungan imbangan dan servis baharu turut dibangunkan bagi menyokong sistem pengagihan air yang lebih efisien dan menyeluruh.
Dari segi pelaksanaan, projek hidroelektrik itu kini dalam fasa pembinaan dengan kemajuan sekitar lapan peratus setakat Mac 2026, melibatkan pembinaan empangan, terowong, loji janakuasa serta infrastruktur sokongan utama.
Secara keseluruhannya, projek Ulu Padas disifatkan sebagai pelaburan strategik berimpak tinggi yang bukan sahaja memperkukuh keselamatan tenaga negeri, malah menjamin kestabilan bekalan air untuk rakyat serta menyokong pertumbuhan ekonomi Sabah secara mampan.
