TAWAU: Seorang lelaki tempatan disyaki khayal akibat pengaruh dadah bertindak mengamuk dengan mengurung isterinya bersama tiga anak serta mengugut untuk membunuh dalam kejadian cemas selama tujuh jam di sebuah kawasan perumahan pekerja ladang di Kalabakan, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima maklumat kira-kira jam 8.30 malam selepas suspek bertindak agresif di rumahnya.
Menurutnya, suspek yang berada dalam keadaan tidak stabil mengunci isteri dan anak-anaknya di dalam rumah serta mengugut sesiapa yang cuba masuk, malah bertindak membaling sabit ke arah individu yang cuba menenangkan keadaan.
“Suspek dipercayai berada dalam keadaan khayal akibat pengaruh dadah dan mengeluarkan ugutan bunuh terhadap mangsa serta orang awam,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Beliau berkata, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau yang diketuai DSP Zulham Affendi Zulkifli bersama anggota Balai Polis Kalabakan segera digerakkan ke lokasi.
Katanya, pemeriksaan mendapati rumah dalam keadaan gelap dengan beberapa senjata berbahaya seperti parang, sabit dan paip besi berada di dalam premis.
“Pasukan polis mengambil masa kira-kira tujuh jam untuk memujuk suspek yang agresif sebelum bertindak menyerbu bagi menyelamatkan mangsa.
“Dalam operasi itu, polis menggunakan Taser Gun bagi melumpuhkan suspek sebelum berjaya menahannya,” jelasnya.
Suspek berusia 39 tahun itu akhirnya ditahan kira-kira jam 10.30 pagi keesokan hari.
Polis turut merampas dua bilah sabit, sebilah parang, pemutar skru, besi ‘loading’ serta empat batang paip besi yang dipercayai digunakan dalam kejadian.
Siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 342 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Bahan Letupan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar segera melaporkan kepada pihak polis sekiranya berdepan situasi ancaman, keganasan rumah tangga atau individu bertindak luar kawalan bagi membolehkan tindakan pantas diambil.
