KOTA KINABALU, 25 Feb — Sabah FC secara rasmi melantik bekas Ketua Jurulatih skuad Bawah 23 (B-23) kebangsaan, Juan Torres Garrido, sebagai Ketua Jurulatih baharu pasukan itu.
Pengumuman pelantikan pengendali kelahiran Sepanyol itu dibuat oleh Pengurus Sabah FC, Mohd Ariz Afizy, hari ini.
Menurut Ariz, Juan Torres mengambil alih tugas daripada Alto Linus yang sebelum ini menggalas peranan sebagai Pemangku Ketua Jurulatih susulan peletakan jawatan Jean-Paul de Marigny pada Disember lalu. Alto kini kembali menjalankan tugas sebagai Penolong Ketua Jurulatih.
“Juan Torres akan memulakan tugas rasminya dalam perlawanan menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Likas, Sabtu ini,” katanya.
Ariz berkata, pengalaman luas Juan Torres mengendalikan skuad B-23 negara serta pengetahuannya mengenai Liga Malaysia menjadi antara faktor utama pemilihannya bagi menerajui Sabah FC.
Beliau yakin kehadiran jurulatih baharu itu mampu membawa perubahan positif kepada pasukan, khususnya dalam usaha memperbaiki kedudukan Sabah FC dalam saingan Liga Malaysia musim 2025/2026.
“Fokus utama kami juga adalah untuk mara ke perlawanan akhir Piala Cabaran MFL 2025–2026,” katanya.
Ariz turut berharap para pemain dapat memberikan komitmen sepenuhnya, mempamerkan disiplin tinggi dan segera menyesuaikan diri dengan pendekatan latihan yang diperkenalkan.
“Dengan semangat berpasukan yang kukuh dan kesungguhan semua pihak, saya yakin Sabah FC mampu mencapai keputusan yang lebih baik selepas ini,” katanya.
Sabah FC ketika ini berada di tangga ke-11 Liga Super dengan mengumpul 14 mata selepas mengharungi 15 perlawanan.
