KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah menahan seramai 44 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dan Filipina dalam Ops Sapu dan Ops Kutip yang dijalankan di sekitar bandar raya ini pada 24 hingga 25 Februari lalu.
Operasi bersepadu itu melibatkan 24 pegawai penguat kuasa dari Bahagian Penguatkuasa Ibu Pejabat JIM Kota Kinabalu yang telah memeriksa seramai 72 individu terdiri daripada warganegara Indonesia dan Filipina.
Hasil pemeriksaan mendapati 44 individu ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
Daripada jumlah tangkapan, dua adalah warganegara Indonesia membabitkan seorang lelaki dewasa dan seorang perempuan dewasa. Selebihnya merupakan warganegara Filipina terdiri daripada lapan lelaki dewasa, 12 perempuan dewasa, sembilan kanak-kanak lelaki dan 13 kanak-kanak perempuan.
Kesemua yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
JIM Sabah dalam kenyataannya menegaskan bahawa penguatkuasaan akan terus dipergiat secara konsisten dan tanpa kompromi. Tegasnya, sebarang pelanggaran terhadap Akta Imigresen 1959/63 akan dikenakan tindakan tegas.
Operasi seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa sebagai manifestasi komitmen jabatan dalam memastikan keselamatan, ketenteraman awam dan kesejahteraan Negeri Sabah sentiasa terpelihara.
