Kota Kinabalu: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor hari ini mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-16 berkuat kuasa serta-merta bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17.
Hajiji berkata, beliau telah menghadap Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Dr Musa Aman, Yang di-Pertua Negeri Sabah, pada pagi tadi untuk menasihatkan pembubaran tersebut setelah tempoh lima tahun DUN Ke-16 berakhir.
Pembubaran ini memberi peluang kepada rakyat Sabah untuk menggunakan hak demokrasi mereka dalam menentukan kepimpinan negeri bagi penggal baharu.
Menurut beliau, keputusan ini mencerminkan komitmen kerajaan terhadap prinsip demokrasi dan proses perlembagaan.
“Sepanjang tempoh lima tahun pentadbiran sejak September 2020, kerajaan negeri telah melaksanakan pelbagai langkah pembangunan melalui Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang berasaskan tiga tonggak utama termasuk pertanian, perindustrian dan pelancongan; modal insan dan kesejahteraan rakyat; serta jaringan infrastruktur dan kelestarian hijau.
“Pelan hala tuju ini telah meletakkan Sabah di landasan transformasi yang jelas. Kami mengambil langkah berani dan bertanggungjawab untuk menangani isu lama seperti bekalan air, elektrik dan infrastruktur kritikal yang membebankan rakyat sejak sekian lama,” katanya ketika mengumumkan pembubaran itu di sini, hari ini.
Beliau menambah, beberapa projek besar telah dan sedang dilaksanakan bagi menangani cabaran tersebut, di samping usaha berterusan untuk mengukuhkan ekonomi, menarik pelaburan baharu, menyediakan peluang pekerjaan, memperluas bantuan pendidikan dan meningkatkan kesejahteraan sosial rakyat.
Hajiji turut menegaskan bahawa mandat baharu diperlukan untuk meneruskan agenda pembangunan negeri.
“Kerja kita belum selesai. Cabaran baharu menuntut penyelesaian yang berani, dan kita bersedia membawa Sabah ke lembaran seterusnya. Dengan pembubaran ini, kami memohon mandat rakyat untuk membina Sabah yang lebih kukuh, makmur dan bersatu,” ujarnya.
Beliau berharap keputusan pilihan raya akan datang dapat memperkukuh suara rakyat, menjamin kestabilan dan keselamatan negeri, serta memastikan kemajuan berterusan untuk Sabah.
“Marilah kita bersama-sama maju ke hadapan dengan penuh keyakinan dan tujuan,” tegas Hajiji.
