Kota Kinabalu: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan kepentingan negeri dan negara mesti dijaga secara seimbang demi memastikan masa depan Sabah yang lebih maju dan harmoni dalam Persekutuan Malaysia.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di sini, hari ini sempena pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-16, yang membuka jalan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-17.
Hajiji menegaskan bahawa hubungan baik antara kerajaan negeri yang diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersama Pakatan Harapan (PH) dengan kerajaan Persekutuan amat penting dan telah membuahkan hasil nyata.
“Ini termasuklah penurunan sembilan bidang kuasa di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kepada Sabah semasa pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Hubungan yang baik ini perlu kita teruskan. Lagipun kerajaan negeri adalah kerajaan GRS–PH, takkan kerjasama ini kita tidak teruskan. Kita mesti tahu bahawa hubungan negeri dengan Persekutuan amat penting sekali untuk masa depan Sabah, untuk kemajuan Sabah,” tegasnya.
Menurut beliau, walaupun kerajaan negeri komited memperjuangkan dan mempertahankan hak Sabah, langkah itu tidak seharusnya dilakukan dengan cara yang boleh menjejaskan kepentingan negara secara keseluruhan.
“Di samping kita mementingkan menuntut hak kita, mempertahankan hak negeri kita, kita juga harus menjaga kepentingan negara kita. Itu kepercayaan saya. Jangan kita jaga kepentingan negeri, kita robohkan kepentingan negara, itu tidak betul,” tegasnya.
