Tuaran: Seorang cedera manakala seorang lagi dilaporkan selamat dalam kejadian kemalangan sebuah kenderaan pacuan empat roda di jalan Tamparuli-Ranau awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, TPgB II Mohamad Nor Amit memaklumkan bahawa pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 3.32 pagi tadi.
Susulan itu katanya, seramai tujuh anggota bomba diketuai Komander Operasi, PBK I Easter Hassan bersama agensi lain, iaitu tiga anggota dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah dikejarkan ke lokasi sejauh 45 kilometer dan tiba pada jam 4.36 pagi.
“Lapor kejadian, benar berlaku kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton terbabas sendiri di bahu jalan dan terdapat seorang mangsa tersepit (penumpang), lelaki 38 tahun dan mengalami kecederaan ringan.
“Manakala, seorang mangsa lagi, iaitu pemandu, lelaki berusia 29 tahun, dilaporkan selamat.
“Pasukan bomba kemudian bertindak memberi rawatan awal sebelum menyerahkan mangsa kepada pihak KKM,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Mangsa yang cedera seterusnya di bawa menggunakan ambulans KKM ke Hospital Tuaran untuk rawatan susulan.
Operasi kemudian ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.58 pagi.
