Tongod: Dua penduduk, seorang wanita warga emas berusia 79 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia 7 tahun, ditemukan maut selepas dihanyutkan arus deras dalam kejadian banjir di Kampung Bangkulut Imbak Timbangan Evogold Sdn Bhd, Tongod, pada lewat malam Khamis (2 Okt).
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 pada jam 9.46 malam berhubung kejadian banjir secara mengejut akibat kepala air dari hulu sungai yang melimpahi kawasan kampung.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan dengan kekuatan lima anggota dikejarkan ke lokasi sejauh 169 kilometer dan tiba pada jam 3.01 pagi (3 Okt).
Turut membantu dalam operasi ialah PDRM (12 anggota), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia – APM (4 anggota) dan Pasukan Bomba Sukarela Tongod (4 anggota).
Siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa dihanyutkan ketika cuba menyeberangi laluan jalan raya yang ditenggelami limpahan air deras.
Mangsa pertama, seorang wanita warga emas warganegara Indonesia, dan mangsa kedua, kanak-kanak lelaki warganegara Malaysia, difahamkan cuba menuju ke kawasan lebih tinggi untuk menyelamatkan diri.
Namun, arus deras menyebabkan mereka hilang imbangan dan dihanyutkan. Kanak-kanak lelaki itu dilaporkan terlepas daripada genggaman ibunya sebelum turut dihanyutkan ke dalam arus deras.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan sebaik pasukan tiba di lokasi. Mangsa pertama (wanita warga emas) ditemui kira-kira 250 meter dari lokasi kejadian.
Pencarian kemudian diteruskan dengan radius 500 meter dari lokasi mangsa pertama ditemukan, dan pada jam 3.25 pagi, pasukan menyambung operasi bagi mengesan kanak-kanak tersebut.
Mangsa kedua akhirnya ditemui kira-kira 200 meter dari lokasi mangsa pertama. Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia dan diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada jam 4.55 pagi untuk tindakan lanjut.
Tiada operasi pemindahan dijalankan kerana paras air sungai telah surut sepenuhnya. Setelah memastikan tiada ancaman lain, operasi SAR ditamatkan pada jam 5.04 pagi.
Pegawai yang mengetuai operasi ialah Komander Operasi PBK I Ahmad Pramuja, manakala Ketua Balai BBP Kinabatangan PPgB Hairi bin Otuh turut berada dalam penyelarasan operasi.
Insiden ini menjadi peringatan kepada orang ramai agar tidak mengambil risiko menyeberangi laluan air deras ketika banjir kilat atau kepala air berlaku, terutama pada waktu malam atau ketika cuaca tidak menentu.
