Kota Kinabalu: Mahkamah hari ini menunggu penjelasan rasmi daripada Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berhubung kenyataannya baru-baru ini yang didakwa menyentuh prosiding inkues kematian pelajar tingkatan satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.
Peguam bela kanak-kanak tertuduh, Datuk Ram Singh dan Joan Goh, memaklumkan bahawa pihak mereka telah memohon tindakan hinaan mahkamah (contempt of court) terhadap Shafie susulan penyebaran video kenyataannya yang tular di media sosial.
Menurut mereka, kenyataan itu boleh dianggap sebagai melanggar gag order serta berunsur sub judice.
“Mahkamah arahkan supaya kita tunggu respon daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) yang telah menyerahkan notis tunjuk sebab kepada Datuk Seri.
“Tempoh diberikan adalah tujuh hari, dan selepas itu barulah mahkamah akan pertimbang tindakan lanjut,” kata Ram Singh ketika ditemui media selepas prosiding pengurusan kes membabitkan lima remaja yang didakwa berhubung kematian Zara.
Beliau menegaskan, isu lain berhubung prosiding kanak-kanak tidak boleh didedahkan kerana masih tertakluk kepada perintah gag order.
Segala maklumat lanjut hanya boleh disalurkan melalui pegawai perhubungan awam mahkamah.
Difahamkan, prosiding inkues Zara disambung dengan saksi kanak-kanak ketiga selepas prosiding pengurusan kes babit lima remaja.
