KOTA KINABALU, 25 Sept – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menolak keras dakwaan UMNO Sabah yang melabel Kerajaan Negeri sebagai pengkhianat terbesar kepada rakyat susulan penyebaran video perbualan antara ahli perniagaan Albert Tei bersama Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan.
Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Barhul Sahibu, menyifatkan tuduhan Pengarah Komunikasi Strategik UMNO Sabah, Datu Rosman Datu Ahir Zaman sebagai fitnah politik murahan tanpa asas.
“UMNO Sabah cuba menangguk di air keruh. Video tular tanpa bukti sahih dijadikan modal politik. Kalau benar ada bukti, bawa ke pihak berkuasa. Jangan hanya pandai menjerit di media,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam (24 Sept).
Barhul menegaskan UMNO tidak berhak bercakap soal integriti kerana pimpinan mereka sendiri masih berdepan kes rasuah.
“Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, masih berdepan kes rasuah yang belum selesai di mahkamah. Bukankah itu bukti nyata siapa sebenarnya liabiliti politik? Jangan cuba jadi juara moral kalau rumah sendiri penuh lumpur,” ujarnya.
Beliau berkata, serangan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, hanyalah helah untuk menutup kelemahan UMNO selepas kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Negeri lalu.
Menurut Barhul, Hajiji memberi fokus kepada pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat, berbeza dengan UMNO yang dilihat terus memainkan isu sensasi untuk kekal relevan.
“Sabah tidak perlukan parti yang hidup atas propaganda, tetapi kepimpinan yang jelas membawa hala tuju negeri. Rakyat Sabah sudah matang menilai dan tidak mudah termakan skrip lapuk pembangkang,” katanya.
Beliau menambah, rekod Bung Moktar sendiri sudah cukup membuktikan kegagalan UMNO menjaga maruah rakyat.
“Itu ibarat telunjuk lurus, kelingking berkait,” tegasnya.
