KOTA KINABALU: Prosiding kes melibatkan Allahyarhamah Zara Qairina di Mahkamah Kanak-Kanak, Kota Kinabalu, pagi tadi disahkan tertakluk kepada perintah larangan (gag order) di bawah Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001.
Peguam keluarga arwah, Hamid Ismail, menegaskan larangan itu bukan kerana campur tangan mana-mana pihak atasan atau faktor status VVIP, tetapi semata-mata kewajipan undang-undang bagi melindungi identiti kanak-kanak.
“Undang-undang jelas melarang sebarang pendedahan identiti kanak-kanak termasuk nama, alamat dan maklumat ibu bapa. Ini bukan arahan luar, tetapi peruntukan undang-undang negara,” katanya ketika ditemui media selepas prosiding.
Hamid turut menjelaskan beliau tidak boleh mengulas perjalanan prosiding kerana bimbang dianggap menghina mahkamah (contempt of court).
Beliau menegaskan, semua pihak hanya boleh merujuk kepada kenyataan rasmi Jabatan Peguam Negara (AGC) yang telah menerangkan pertuduhan serta seksyen berkaitan.
Katanya, tidak ada ruang untuk spekulasi atau ulasan bebas.
Hamid juga memaklumkan pihaknya telah memfailkan permohonan untuk menjadi pihak berkepentingan (interested party) dalam prosiding inkues yang akan bermula pada 3 September depan.
Tarikh pendengaran permohonan itu dijangka ditetapkan minggu ini.
Katanya, pihaknya akan terus berhubung rapat dengan keluarga arwah Zara bagi memastikan mereka sentiasa dimaklumkan mengenai perkembangan inkues tersebut.
Dalam masa sama, Hamid menegaskan masyarakat perlu faham bahawa gag order ini adalah mekanisme undang-undang untuk melindungi kanak-kanak dan tidak wajar dikaitkan dengan isu VVIP mahupun permainan politik.
