KOTA Kinabalu: Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini mengeluarkan penjelasan lanjut berhubung keputusan mendakwa lima remaja yang terlibat dalam kes buli Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir di bawah Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan.
Dalam kenyataan medianya, AGC menegaskan bahawa pertuduhan dibuat berdasarkan penelitian terhadap kertas siasatan, yang mendapati tuduhan berkenaan hanya merujuk kepada perbuatan buli dan tidak mempunyai kaitan langsung dengan kematian Zara Qairina.
“Pertuduhan di bawah Seksyen 507C(1) dibuat kerana ia merujuk kepada perbuatan buli sahaja dan tidak mempunyai kaitan dengan kematian Zara Qairina,” jelas kenyataan itu.
AGC turut menolak kenyataan pihak peguam keluarga mangsa yang sebelum ini mencadangkan agar pertuduhan dikenakan di bawah Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan.
Menurut AGC, cadangan tersebut adalah bersifat spekulatif serta tidak disokong oleh fakta dan bukti yang diperoleh hasil siasatan.
Sehubungan itu, AGC sekali lagi menegaskan bahawa keputusan mendakwa suspek di bawah Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan adalah berasaskan bukti dan fakta kukuh yang diperoleh melalui siasatan pihak berkuasa.
AGC juga menekankan bahawa prosiding inkues masih perlu dijalankan untuk menentukan punca sebenar kematian Zara Qairina.
Jabatan Peguam Negara menutup kenyataan dengan menegaskan iltizam untuk menegakkan keadilan dalam kes berprofil tinggi ini.
