Kota Kinabalu: UMNO Sabah menegaskan komitmennya untuk mengembalikan maruah negeri ini dengan melaksanakan pembangunan pesat seperti era pemerintahan Barisan Nasional (BN) terdahulu.
Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, UMNO-BN pernah membuktikan kemampuan membawa perubahan besar di Sabah termasuk menaik taraf infrastruktur asas yang sekian lama diabaikan.
“UMNO-BN telah meninggalkan legasi pembangunan yang jelas. Sebelum BN mentadbir, Sabah jauh ketinggalan di bawah pentadbiran parti-parti tempatan. Namun apabila BN mengambil alih, bermulalah arus pembangunan – jalan raya, bekalan elektrik, dan air bersih,” katanya seperti dilaporkan portal UMNO Online.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan menambah, masalah infrastruktur yang kembali menghantui rakyat hari ini adalah akibat tumbangnya BN pada 2018.
“Kalau tidak terkandas pada 2018, saya yakin isu air dan jalan raya sudah selesai. Malangnya selepas BN tumbang, banyak projek terbengkalai,” ujarnya.
Bung Moktar berkata, pengalaman luas serta keikhlasan pemimpin UMNO-BN menjadi sandaran untuk membawa Sabah keluar daripada belenggu kemiskinan.
“Kita ingin meyakinkan rakyat bahawa kita mampu mengeluarkan lapan daerah termiskin dan menjadikan Sabah bukan lagi negeri termundur di Malaysia. Itulah misi kita untuk mengembalikan maruah Sabah,” tegasnya.
