TUARAN: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, menggesa orang ramai supaya tidak membuat pelbagai andaian berhubung insiden kematian pelajar tingkatan satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, 13, sebelum siasatan pihak berkuasa selesai.
Beliau menegaskan, Kerajaan Negeri amat bersimpati terhadap kejadian tragis itu dan memahami kesedihan serta keprihatinan masyarakat, namun semua pihak perlu memberi ruang sepenuhnya kepada proses undang-undang untuk dijalankan dengan baik.
“Sebenarnya kita amat simpati, kerajaan negeri amat simpati dengan kejadian yang berlaku. Tetapi kita janganlah membuat andaian bermacam-macam sekarang ini.
“Kita tunggu proses undang-undang berjalan sebaik mungkin dan selepas itu kita akan tahu apa puncanya,” katanya.
Hajiji berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis perasmian Festival Kebudayaan Rumpun Bajausamah di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajausamah, Lok Batik, pada Ahad.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman, yang turut hadir bersama isteri, Toh Puan Faridah Tussin.
Menurut beliau, setakat ini terdapat pelbagai spekulasi yang dilihat tidak tepat dan berpotensi mengelirukan orang ramai.
“Kita beri kepercayaan kepada pihak polis untuk menyiasat dan nanti akan diumumkan hasil siasatan setelah selesai,” katanya lagi.
Hajiji turut mengingatkan masyarakat agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan kelancaran siasatan dan mengganggu perasaan keluarga mangsa.
