Shahlan Jufri ketika ditemui media di perkarangan Jabatan Forensik HQE 1
KOTA KINABALU: Peguam keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir,13 tahun, Shahlan Jufri, mengesahkan wujud kecederaan termasuk patah pada tubuh pelajar Tingkatan Satu itu berdasarkan pemerhatiannya sepanjang proses bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) semalam.
Shahlan, yang hadir menyaksikan keseluruhan prosedur selama lebih lapan jam, berkata bedah siasat bermula pada jam 11 pagi dan selesai sekitar 7.30 malam, dilaksanakan oleh empat pakar forensik dengan disaksikan anggota polis dan jurugambar rasmi.
“Saya berada di situ dari awal hingga akhir. Proses ini dijalankan dengan penuh telus, profesional, dan tanpa sebarang campur tangan pihak luar. Tidak ada ‘tangan ghaib’ seperti yang digembar-gemburkan di media sosial,” katanya ketika ditemui media selepas prosedur selesai.
Beliau turut mengesahkan bahawa kecederaan yang ditemui selari dengan beberapa maklumat yang tular di media sosial, namun menegaskan bahawa butiran terperinci kekal sulit kerana laporan rasmi bedah siasat hanya boleh didedahkan di mahkamah, sekiranya inkues diadakan.
“Memang ada patah, memang ada kecederaan. Tetapi laporan ini adalah dokumen sulit. Ia hanya boleh dibentangkan di mahkamah sekiranya ada prosiding inkues atau perbicaraan,” tambahnya.
Menyentuh langkah seterusnya, Shahlan berkata pihak keluarga akan meneliti laporan penuh autopsi sebelum membuat keputusan sama ada akan memohon inkues.
Sekiranya wujud suspek yang didakwa di mahkamah, prosedur inkues mungkin tidak lagi diperlukan, katanya.
Proses bedah siasat semalam dilakukan susulan arahan Jabatan Peguam Negara (AGC) agar siasatan dilengkapkan secara menyeluruh, termasuk penggalian semula kubur Allahyarhamah di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol, Sipitang pada 10 Ogos lalu.
Selesai bedah siasat, jenazah dibawa pulang ke kampung halaman dan dikebumikan semula dalam suasana hiba, disaksikan ahli keluarga dan penduduk setempat.
