TAWAU: Seorang lelaki warga asing berusia 40 tahun ditahan polis dalam satu serbuan di Kampung Icebox, Tawau, selepas didapati positif dadah.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Bin Hussin berkata, tangkapan dilakukan sekitar jam 1 petang oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Tawau hasil maklumat dan risikan berhubung aktiviti penyalahgunaan dadah di kawasan tersebut.
“Hasil pemeriksaan menemui satu paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki syabu seberat 0.12 gram. Ujian saringan awal air kencing juga menunjukkan suspek positif amphetamine dan methamphetamine,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah dan Seksyen 15(1)(a) akta sama atas kesalahan penyalahgunaan dadah.
ACP Jasmin menegaskan walaupun jumlah rampasan kecil, ia tetap satu kesalahan serius di sisi undang-undang dan menunjukkan komitmen berterusan polis dalam membanteras jenayah dadah.
Beliau turut menggesa orang ramai agar peka dengan persekitaran serta menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan kepada pihak polis bagi memastikan keselamatan komuniti sentiasa terjaga.
Sumber: Polis Daerah Tawau
